Wednesday, August 20, 2008

TIPS KESIHATAN

Tidur siang boleh elak sakit jantung



LONDON : Sekumpulan penyelidik Greece mendakwa amalan tidur siang sekurang-kurangnya 30 minit, berkemungkinan besar dapat mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung, terutamanya di kalangan lelaki muda.



Mereka mendakwa, tidur pada waktu tengah hari itu membantu individu lebih relaks dan sekali gus mengurangkan tahap tekanan mereka.

Kajian selama enam tahun itu mendapati, mereka yang tidur sekurang-kurangnya setengah jam tiga kali seminggu mencatat penurunan risiko sebanyak 37 peratus untuk kemungkinan mati akibat masalah jantung.

"Terbukti, tidur siang itu mengurangkan tekanan dengan keputusan lebih ketara di kalangan lelaki yang bekerja," kata ketua penyelidik, Dr Dimitrios Trichopoulos yang juga saintis di Fakulti Kesihatan Umum, Universiti Harvard.

Katanya, penyelidik terbabit mengambil kira aspek kesihatan responden, usia dan sama ada mereka sememangnya aktif secara fizikal.

Hasil kajian sebelum ini sememangnya mengakui masalah kematian akibat penyakit jantung itu berkurangan di negara yang ramai rakyatnya mengamalkan tidur siang, tetapi penyelidikan itu menghasilkan keputusan yang bercampur.

Namun dalam kajian terbaru, penyelidik Greece berkenaan mengkaji 23,681 responden lelaki dan wanita berusia 20-86 tahun. Mereka pula tidak mempunyai sebarang sejarah masalah jantung atau penyakit serius lain.

Responden ditanya apakah mereka mengamalkan tidur siang dan kekerapan berbuat demikian serta tabiat pemakanan dan kegiatan fizikal berkaitan.

Hasilnya, mereka yang kerap tidur siang, mencatat pengurangan risiko sehingga 34 peratus untuk mati akibat penyakit jantung berbanding mereka yang tidak tidur siang.

Mereka yang tidur siang melebihi 30 minit sebanyak tiga kali atau lebih dalam seminggu, pula memiliki penurunan risiko ancaman itu sebanyak 37 peratus.

Di kalangan lelaki bekerja yang tidur siang pula mencatat sehingga 64 peratus pengurangan risiko kematian berbanding 36 peratus di kalangan mereka yang tidak bekerja.

Bagaimanapun, tiada sebarang kematian dicatatkan di kalangan responden wanita untuk dijadikan perbandingan.

"Kajian ini menunjukkan risiko kematian itu berkurangan di kalangan penduduk negara yang sememangnya mengamalkan tabiat tidur siang. Keputusan ini juga membuktikan, kajian lanjut wajar dilakukan bagi mengesahkan hasil ini," kata Dr Trichopoulos. – Agensi

No comments:

layout powered by HOTFreeLayouts.com / MyHotComments